Tanda-Tanda Kematian Bagi Orang Islam



Gambar Sekadar Hiasan

Adapun tanda-tanda kematian bagi Orang Islam mengikut ulamak adalah benar dan sememangnya wujud. Cuma amalan dan ketakwaan sahaja yang akan membezakan kepekaan kita kepada tanda-tanda ini.
 .
Firman Allah سبحانه وتعالى:

ٱللَّهُ يَتَوَفَّى ٱلْأَنفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَٱلَّتِى لَمْ تَمُتْ فِى مَنَامِهَا ۖ فَيُمْسِكُ ٱلَّتِى قَضَىٰ عَلَيْهَا ٱلْمَوْتَ وَيُرْسِلُ ٱلْأُخْرَىٰٓ إِلَىٰٓ أَجَلٍۢ مُّسَمًّى ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَٰتٍۢ لِّقَوْمٍۢ يَتَفَكَّرُونَ

“Allah memegang nyawa pada saat kematiannya dan nyawa yang belum mati ketika dia tidur. Dia tahan nyawa yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia lepaskan nyawa yang lain sampai waktu yang ditetapkan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran) Allah bagi kaum yang berfikir.” (Surah az-Zumar, ayat 42)

Rasulullah ﷺ diriwayatkan masih mampu memperlihat dan menceritakan kepada  keluarga dan sahabat secara lansung akan kesukaran menghadapi sakaratulmaut dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda. Imam Ghazali rahimahullah diriwayatkan memperolehi tanda-tanda ini sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratul maut secara sendirian. Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk mandi, wuduk serta kafannya sekali cuma ketika sampai bahagian tubuh dan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas tersebut. Beliau wafat ketika Imam Ahmad bersedia untuk mengkafankan bahagian mukanya.

Adapun riwayat-riwayat ini memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah سبحانه وتعالى tidak pernah berlaku zalim kepada hambanya. Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk menjadikan kita umat Islam supaya dapat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap Allah سبحانه وتعالى. Walaubagaimanapun semua tanda-tanda ini akan berlaku kepada orang-orang Islam sahaja manakala orang-orang kafir iaitu orang yang menyekutukan Allah nyawa mereka ini akan terus di rentap tanpa sebarang peringatan sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah سبحانه وتعالى.

TANDA-TANDA KEMATIAN  

Menurut pandangan ulama’, berikut adalah tanda-tanda sebelum seseorang umat Islam itu dikeluarkan roh dari jasadnya:

Tanda 100 hari sebelum hari mati.

Ini adalah tanda pertama dari Allah سبحانه وتعالى kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakiNya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini Cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan menggigil dan rasanya sedap dan lega.

Bagi mereka yang sedar dan terdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah seseorang itu tersedar akan kehadirannya. Maka dengan kehadiran tanda inilah peluang terbaik untuk memanfaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan yang akan dibawa dan urusan yang bakal ditinggalkan selepas mati kelak. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang manfaat.

Tanda 40 hari sebelum hari mati.

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat seseorang itu akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun di Arasy yang tertulis nama orang yang akan mati akan gugur dari pokoknya. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaan ke atasnya, antaranya ialah dengan mula mengikuti orang tersebut sepanjang masa, sehingga saat kematiannya.

Malaikat maut akan memperlihatkan wajahnya sepintas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan terasa seakan-akan kebingungan seketika. Adapun malaikat maut ini wujudnya Cuma satu tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari sebelum hari mati.

Menurut sebahagian pandangan ulama’; Dalam tempoh ini akan berlaku sesuatu yang luar biasa seperti melakukan sesuatu yang pelik dan mereka yang diuji dengan musibah penyakit akan mengidam sesuatu atau selera makannya bertambah secara tiba-tiba.

Tanda 5 hari sebelum hari mati.

Pada ketika ini akan terasa anak lidah bergerak-gerak. Jika tanda terjadi, maka banyakkanlah membaca Al-Quran dan berzikir supaya dapat melafazkan kalimah syahadah dan memudahkan sakaratul-maut.

Tanda 3 hari sebelum hari mati.

Pada ketika ini bahagian tengah dahi akan akan terasa berdenyut dan bergerak-gerak.Sekiranya seseorang itu sakit tenat, tiba-tiba kelihatan bertambah sihat yang menggembirakan orang di sekelilingnya seperti dia boleh makan dan berkata-kata semula, maka ajalnya mungkin telah hampir.

Tanda 2 hari sebelum hari mati.

Pada masa ini, biasanya seseorang itu akan dapat melihat dan bertemu dengan roh orang yang telah meninggal dunia, terutama roh orang yang mereka sayangi. Di samping itu, seluruh bahagian dahi akan akan rasa berdenyut dan bergerak-gerak. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah supaya perut tidak dipenuhi najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti.

Ketika ini juga mata hitam tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit, hidungnya akan beransur jatuh, ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda 1 hari sebelum hari mati.

Seseorang itu akan berasa denyutan di kawasan ubun-ubun yang berlaku selepas waktu Asar, di mana ini menandakan tidak akan sempat lagi untuk menemui waktu Asar  hari berikutnya. Rasulullah ﷺ ketika menghadapi sakaratul-maut, Baginda mencelupkan jari ke dalam gelas berisi air berhampiran Baginda lalu diusapkan ke wajah sambil berdoa:

doa nazak

Tanda akhir.

Seseorang itu akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang hingga ke tulang sulbi (di bahagian belakang badan) dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan dan jemputan malaikat maut untuk kembali kepada Allah سبحانه وتعالى Yang Maha Menghidupkan dan Maha Mematikan.
Rasulullah ﷺbersabda: “Janganlah seseorang itu meninggal dunia, melainkan dalam keadaan berbaik sangka terhadap Allah سبحانه وتعالى.” (Hadis riwayat Muslim)

Kesimpulan Tanda Mati

Bertaqwa dan berdoalah kepada Allah سبحانه وتعالى semoga kita adalah di antara orang-orang yang yang dipilih oleh Allah سبحانه وتعالى untuk diberi kesedaran dan kepekaan terhadap tanda-tanda mati ini. Supaya kita dapat membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan dari Allah سبحانه وتعالى mahupun dari sesama manusia dari segala dosa dan urusan hutang piutang.

Rasulullahﷺ bersabda: “Orang yang paling bijaksana dan paling teliti di antara kamu adalah orang yang sering mengingati mati dan yang paling banyak mengadakan persiapan untuk mati. Merekalah yang bijaksana dan berhasil mencapai kehormatan di dunia dan di akhirat.” (Hadis riwayat Thabrani r.a.)

Walaubagaimanapun sesuai dengan sifat Allah سبحانه وتعالى yang Maha Berkuasa, Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, maka diriwayatkan bahawa tarikh mati seseorang itu masih boleh diubah dengan amalan doa iaitu samada doa dari kita sendiri ataupun doa dari orang lain.

Namun ianya adalah ketentuan Allah سبحانه وتعالى semata-mata. Oleh itu hendaklah kita bersama-sama berusaha dan berdoa semoga diberi hidayah dan petunjuk oleh Allahسبحانه وتعالى, kelapangan masa, kesihatan tubuh badan dan juga fikiran dalam usaha kita untuk mencari keredhaan Allah سبحانه وتعالى samada di dunia mahupun akhirat. Apa yang baik dan benar itu datangnya dari Allah سبحانه وتعالى dan apa yang salah dan silap itu adalah dari kelemahan manusia itu sendiri.

والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

وَالسَّلاَمْ

Post a Comment

0 Comments