Cara Mengerjakan Solat Istikharah Yang Betul

Image result for Cara Mengerjakan Solat Istikharah Yang Betul


Cara Mengerjakan Solat Istikharah Yang Betul. Solat istikharah ialah solat sunat dua rakaat untuk memohon kepada Allah bagi menentukan pilihan yang lebih baik antara dua perkara yang belum dapat ditentukan baik buruknya bagi seseorang.

Apabila seseorang berazam dalam yang untuk mengerjakan sesuatu maksud sedangkan ia ragu-ragu samada patut diteruskan atau tidak, maka disunatkan melakukan solat sunat istikharah.



Solat Istikharah


Solat ini lebih afdhal dikerjakan pada malam hari. Selepas  selesai solat teruslah berdoa dengan doa istikharah.  Setelah itu ambillah keputusan perkara yang hendak dilakukan berdasarkan kecenderungan hati. Jika masih ragu-ragu maka lakukanlah lagi solat untuk istikharah tersebut sehingga mendapat ketetapan hati untuk membuat keputusan. Jika masih dalam keraguan juga, maka Insya Allah apa yang ditakdirkan selepas itu samada meneruskan atau tidak cita-cita tersebut mempunyai kebaikan dan taufik daripada Allah.

Cara Solat Istikharah

a.  Lafaz niatnya:
Daku solat sunat Istikharah dua rakaat kerana Allah Taala.

b.  Antara surah yang dianjurkan ulama ialah:
Rakaat pertama, bacalah Al-Kafirun (1 kali).
Rakaat ke-dua, dibacakan Al-Ikhlas (1 kali).

Atau;
Rakaat pertama, bacalah ayat Al-Kursi (7 kali).
Rakaat ke-dua, dibacakan Al-Ikhlas (11 kali).

c.  Dalam sujud akhir, baca tasbih berikut sebanyak 40 kali:

Maha Suci Dikau yang tiada ilmu bagi kami kecuali apa yang Dikau ajarkan (tunjukkan) kepada kami. Sesungguhnya Dikau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana!

d.  Sebelum bangkit dari sujud, mohonlah kepada Allah SWT. dipertunjukkan jalan yang betul dalam membuat keputusan dan pilihan.

e.  Selesai memberi salam, bacalah selawat untuk dihadiahkan kepada Rasulullah SAW., para sahabat Baginda, para wali Allah dan seluruh umat Islam.

f.   Membaca doa solat sunat Istikharah:
Doa solat sunat Istikharah




"Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan..) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatilah bagiku padanya dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (sebutkan..) mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya".
 (sebutkan urusan yang dimaksudkan di tempat yang bertitik).

g.  Ulangilah doa tersebut sebanyak 3 kali. Dalam berdoa sebaik-baiknya sebutkan permintaan yang ingin diberikan petunjuk oleh Allah SWT. misalnya: 
 “Ya Allah! Jika Dikau mengetahui urusan ini..….. (sebutkan perkaranya).” 

h.  Serahkanlah sepenuh keyakinan kepada Allah SWT. sambil bermohon kepada-Nya agar diberikan petunjuk, sama ada didatangkan melalui mimpi, gerak hati atau dengan dipermudahkan urusan yang mana baik. Tidurlah dalam keadaan berwuduk dan berpakaian bersih.

i.  Lakukan solat Istikharah 3 atau 7 hari berturut-turut, mengikut kepentingannya. Insya-Allah akan diberi kecenderungan atau digerakkan hati untuk membuat sesuatu keputusan atau pilihan yang betul.
Wallahua'lam.

Sumber : ISLAM GRID, Doa Harian & shafiqolbu




Post a Comment

0 Comments