Suami Wajib Tahu Hal Ini. Nafkah Tak Luput Walaupun Isteri Kerja



Suami bertanggung-jawab memberi nafkah kepada isteri mengikut kemampuan masing-masing. Berdosa bagi suami jika menahan nafkah kepada orang di bawah tanggungannya. Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin di IKIMfm, menjelaskan walaupun isteri yang bekerja dan pendapatan lebih besar daripada suami, nafkah kepada isteri tetap wajib diberi.



Tanggungjawab memberi nafkah diamanahkan kepada ketua keluarga iaitu, suami yang wajib memberi nafkah, menjaga kebajikan isteri dan anak. Bahkan, jika berlaku perceraian, suami masih wajib memberi nafkah sepanjang isteri berada dalam edah dan nafkah menguruskan anak.

Daripada Hakim bin Muawiyah, daripada ayahnya Muawiyah bin Haidah, ia bertanya kepada Rasulullah SAW: "Ya Rasulullah, apakah hak isteri ke atas kami? Sabda Rasulullah SAW: Hendaklah engkau memberi makan kepadanya apabila engkau makan dan hendaklah memberi pakaian kepadanya seperti mana engkau berpakaian." (Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Nasa'i)

Walau bagaimanapun, nafkah tidaklah bersifat mutlak kerana setiap orang tidak sama kemampuannya. Ada yang kaya dan berkemampuan menyediakan semua keperluan dan ada pula sebaliknya.

Apa yang penting, suami memberikan komitmen dan melaksanakan tanggungjawab itu sebaik mungkin dengan memberi keselesaan kepada isteri, bukan kemewahan atau pembaziran yang melampau.

Menyambung tajuk '40 Ayat Berkenaan Keluarga' dalam program Pesona D'Zahra
di IKIMfm, Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin, berkata kepentingan nafkah juga telah digariskan menerusi ayat al-Quran.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah daripada harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak meletakkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan." (Surah at-Talaq, ayat 7)

7 situasi pemberian nafkah

Menurut Muhammad, dari aspek pemberian nafkah terdapat tujuh situasi berbeza dalam sesebuah institusi rumah tangga. Pertama, suami yang menanggung nafkah meliputi makanan, pakaian, tempat tinggal dan pembiayaan pendidikan anak. Berdosa bagi suami yang menahan nafkah kepada orang di bawah tanggungannya.

Situasi kedua, suami dan isteri sama-sama mampu, memiliki pekerjaan dan sumber ekonomi yang kukuh dan saling meredai pemberian antara satu sama lain.

Seterusnya, wujud keadaan suami dan isteri kurang berkemampuan. Oleh itu, suami perlu meminta reda isteri terhadap sesuatu yang tidak mampu ditunaikan olehnya. Dalam situasi sebegini wujud harta sepencarian yang merujuk kepada harta benda diperoleh daripada usaha suami isteri.

Contohnya, penyertaan isteri dalam kerja suaminya seperti mengiringi perjalanan untuk menjalankan perniagaan dianggap sebagai sumbangan pada perolehan harta. Penyertaan isteri memberi kedamaian dan ketenteraman kepada suami sehingga berjaya dalam pekerjaannya.

Tidak dapat disangkal lagi, setiap individu perlu memiliki kelulusan memuaskan bagi mendapat pekerjaan. Realiti dalam dunia serba moden hari ini, kita melihat semakin ramai wanita bekerja dalam pelbagai sektor.

Sebilangan besar bekerja untuk memberi nafkah kepada ibu bapa, membantu suami dalam perbelanjaan rumah tangga atau mungkin juga untuk diri sendiri. Dalam situasi sebegini, suami perlu meminta reda isteri, manakala isteri perlu melafazkan reda terhadap nafkah dan lafaz hutang.

Suami perlu faham walaupun isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, tanggungan suami memberikan nafkah zahir tidak hilang secara automatik, biarpun pendapatan isteri jauh lebih besar daripada suami.

Isteri perlu bertimbang rasa

Di samping itu, menjadi kewajipan suami untuk melunaskan kembali tanggungjawabnya apabila mampu memberi nafkah kepada isteri dan ahli keluarganya walaupun sebelum ini berdepan masalah kewangan.

Sementara itu, isteri perlu memiliki sifat bertimbang rasa, sabar dan memahami pasangan ketika berhadapan dengan kesusahan dan kepayahan mencari nafkah. Oleh itu, isteri dinasihatkan tidak memaksa suami untuk membeli barangan keperluan yang mahal.

Allah SWT tidak pernah menyulitkan hamba-Nya dan sentiasa memberi kemudahan buat umatnya. Jika pasangan suami isteri hidup dalam serba daif, maka ibu bapa pasangan digalak menghulurkan bantuan. Bagaimanapun, apabila suami isteri telah mampu. mereka disaran membayar balik segala bantuan yang telah diberikan.

Sumber : bharian
pastikan share bila dah baca

Post a Comment

0 Comments